POSTER calon BN, Jamil Khir disimbah cat hitam. FOTO Ihsan Pembaca
POSTER calon BN, Jamil Khir disimbah cat hitam. FOTO Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Polis menerima laporan berhubung kejadian poster Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di tepi jalan simpang empat Jalan Pulau Bunting disimbah cat hitam, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima laporan dibuat Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Jerai yang menyedari kejadian selepas menerima aduan daripada pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 12.35 tengah malam.

"Poster itu terletak di simpang empat Jalan Pulau Bunting dan mendakwa perbuatan itu dilakukan bagi memburukkan parti berkenaan.

"Berikutan itu, pengadu terbabit membuat laporan polis untuk tindakan lanjut oleh polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahnaz berkata, setakat ini tiada saksi bebas yang menyaksikan kejadian itu, malah lokasi kejadian berlaku di tepi jalan yang sunyi dan gelap.

"Tiada kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di sepanjang jalan berkenaan dan sekitar tempat kejadian adalah kawasan sawah padi.

"Hasil siasatan lokasi kejadian mendapati tiada penduduk kampung yang tinggal di kawasan tempat kejadian," katanya.

Shahnaz berkata, siasatan lanjut berhubung kes sedang dilakukan dan usaha mengesan suspek masih dilakukan ketika ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 8:42 AM