Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah apabila menahan enam lelaki dan merampas 107.5 kilogram syabu bernilai RM3.87 juta dalam dua serbuan di negeri ini Isnin lalu.

Kejayaan itu hasil serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan pertama yang dilakukan di jeti pendaratan ikan di Sungai Acheh, Balik Pulau pada jam 2.30 petang itu menahan dua lelaki warga tempatan dan tiga warga asing.

Katanya, menerusi serbuan itu, polis turut merampas sejumlah dadah jenis syabu dianggarkan seberat 107.5 kilogram dalam 100 bungkusan teh yang ditemukan dalam bot gentian kaca.

"Susulan penahanan itu, serbuan kedua dibuat di sebuah rumah di Bukit Tambun, Nibong Tebal dan menahan seorang lagi suspek warga tempatan.

"Ujian saringan air kencing terhadap semua suspek didapati negatif dadah dan seorang daripadanya mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 56(1)(b) Akta Imigresen 1956/63.

"Kesemua suspek yang bekerja sebagai buruh itu berusia 30 hingga 55 tahun kini direman selama tujuh hari sehingga 27 September ini bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menurut Mohd Shuhaily lagi, siasatan awal mendapati aktiviti pengedaran dadah itu bergiat aktif sejak awal September lalu dan dipercayai bagi pasaran negara jiran.

DATUK Mohd Shuhaily Mohd Zain (tengah) mengingatkan orang ramai di Pulau Pinang agar mematuhi SOP pencegahan Covid-19. FOTO Mikail Ong
DATUK Mohd Shuhaily Mohd Zain (tengah) mengingatkan orang ramai di Pulau Pinang agar mematuhi SOP pencegahan Covid-19. FOTO Mikail Ong

Katanya, polis turut merampas masing-masing dua kereta dan motosikal selain wang tunai bernilai RM1,000.

"Keseluruhan dadah yang dirampas dipercayai diseludup keluar ke luar negara dan boleh digunakan seramai 537,500 penagih.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 5:54 PM