Tertuduh dihukum penjara 12 tahun, 11 sebatan selepas mengaku bersalah melakukan rompakan ke atas lelaki warga emas, 2 September lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Tertuduh dihukum penjara 12 tahun, 11 sebatan selepas mengaku bersalah melakukan rompakan ke atas lelaki warga emas, 2 September lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 11 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana merompak seorang lelaki warga emas September lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, membuat keputusan itu selepas tertuduh, Arip Tarip, 31, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 392/97 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan menggunakan senjata.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan terhadap harta milik mangsa, Jong Fook Onn, 65, di hadapan sebuah kedai kopi di Taman Hill Top dekat sini, jam 5.24 pagi, pada 2 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) tertuduh turut dihukum penjara 12 bulan dan lima sebatan kerana kesalahan memasuki dan berada dalam negara ini tanpa dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Syahnidzam dalam hujahnya memohon mahkamah mengenakan hukuman berat mengambil kira faktor kepentingan awam selain jenayah dilakukan tertuduh yang menggunakan senjata bahaya iaitu sebilah parang.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon diringankan hukuman selain merayu agar hukuman berjalan secara serentak.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman terhadap tertuduh berkuat kuasa secara berasingan selain dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 3:25 PM