Ekhwan Haque Fazlul Haque


Bera: Pemilihan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai 'poster boy' dan calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dilihat bertepatan dengan aura dibawa beliau selaku calon Parlimen Bera.

Ini terbukti apabila sambutan hangat diterima Ismail Sabri sepanjang tiga hari berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bermula Sabtu lalu.

Setiap program dan majlis dihadiri Ismail Sabri yang juga calon Parlimen dipenuhi penyokong kuatnya dan BN.

Malah, Naib Presiden Umno itu juga dilihat tidak kekok mendekati pengundi pelbagai peringkat usia membuktikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno bukan seorang pemimpin bermusim.

Mesra disapa Pak Long oleh rakyat sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun begitu prihatin mendengar masalah yang diadukan masyarakat Bera kepadanya.

Walaupun sedar tidak berdepan laluan sukar untuk terus mengekalkan kerusi Parlimen Bera bagi penggal kelima, beliau masih terus bekerja keras menyantuni seramai mungkin pengundi sehingga larut malam.

Ketika ditanya mengenai pembaharuan yang akan dibawa, beliau mahu mempertingkatkan kemudahan infrastruktur, ekonomi dan peluang pekerjaan buat warga Bera.

Malah, Ismail Sabri turut memberikan penekanan kepada warga Felda yang sentiasa memberi sokongan padu dalam setiap PRU.

Bahkan, geografi Bera yang mempunyai banyak perkampungan Orang Asli akan terus diperkasakan bagi memastikan taraf kehidupan komuniti itu setanding dengan kaum lain di negara ini.

Ketika mengetuai Kabinet Keluarga Malaysia, pelbagai inisiatif yang inklusif diperkenalkan beliau bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir ketika negara masih dalam keadaan ketidaktentuan kesihatan dan ekonomi.

"Saya berterima kasih atas sokongan yang diberikan seluruh warga Bera sejak saya mula menceburi politik sehingga bergelar Perdana Menteri.

"Tidak dinafikan sokongan padu diterima sangat baik sepanjang tiga hari berkempen bukan saja kepada saya malah untuk tiga lagi calon Dun.

"Malah, sokongan daripada pengundi Cina dan India juga bertambah baik dan saya yakin ia dapat diterjemahkan ketika hari mengundi 19 November ini," katanya.

Katanya, selaku Perdana Menteri, beliau akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin tanpa mengira latar belakang.

Apa yang penting kini, BN perlu diberikan mandat yang lebih kuat dan menjadi parti dominan di Parlimen supaya kerajaan lebih kukuh dan rakyat boleh menerima manfaat terbaik dalam keadaan dunia yang semakin mencabar.

Bagi Tok Batin Sungai Tuang, Berahim Busu, 63, perubahan ketara sudah dinikmati komuniti itu sejak Ismail Sabri menjadi Ahli Parlimen Bera, empat penggal lalu.

ISMAIL Sabri (tiga dari kanan) diiringi calon BN Dun Guai, Sabariah Saidin (kanan) mendengar taklimat jentera BN ketika Program Moh Ngeteh Bersama Rakyat di Bilik Gerakan PDM Felda Kumai, Bera. FOTO Hairul Anuar Rahim
ISMAIL Sabri (tiga dari kanan) diiringi calon BN Dun Guai, Sabariah Saidin (kanan) mendengar taklimat jentera BN ketika Program Moh Ngeteh Bersama Rakyat di Bilik Gerakan PDM Felda Kumai, Bera. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Kami berpuas hati dengan pembangunan yang dibawa BN dan diharap lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke perkampungan Orang Asli kelak.

"Saya mewakili komuniti Orang Asli berharap kerajaan akan datang terus memperjuangkan nasib Orang Asli supaya setanding dengan kaum lain.

Bagi penduduk Felda Kumai, Yusuf Adlan, 38, kini ramai anak Felda yang sudah berjaya dan menjawat jawatan penting dalam kerajaan dan agensi swasta.

Katanya, walaupun di luar bandar namun kemudahan yang dinikmati warga Felda berada pada tahap baik.

"Kawasan peneroka Felda sudah berbeza jika dibandingkan sebelum ini kerana kerajaan mengambil berat setiap masalah yang dihadapi peneroka.

"Inisiatif diperkenalkan kerajaan BN disifatkan sebagai inklusif dan membantu meningkatkan taraf hidup warga Felda," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 1:14 PM