ZURAIDA tiba di Dewan Dato Ahmad Razali, Ampang.  FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ZURAIDA tiba di Dewan Dato Ahmad Razali, Ampang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Noor Hidayah Tanzizi


Image

Ampang: Kerusi Parlimen Ampang yang disandang Datuk Zuraida Kamaruddin sejak 2008 menyaksikan persaingan sengit dengan pertembungan sembilan penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pilihan raya kali ini sedikit berbeza bagi Zuraida yang memenangi kerusi itu atas tiket PKR pada PRU-14 apabila kali ini beliau mempertahankan kerusi disandangnya itu atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida dicabar Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN), Rodziah Ismail (PH), Sasha Lyna Abdul Latif (PN) dan Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang).

Turut bertanding, Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng dan M Raveendran.

Pegawai Pengurus Pilihan raya, Mohd Fauzi Mohd Yatim mengumumkan senarai calon bertanding pada 10.57 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Dato' Ahmad Razali ditutup pada 10 pagi.

Persaingan merebut kerusi Parlimen Ampang kali ini mencipta 'sejarah' apabila 'direbut' sembilan calon berbanding pilihan raya terdahulu yang menyaksikan pertembungan paling banyak ialah empat penjuru seperti PRU-14.

PRU-15 juga menjadi 'gelanggang' pertama buat Muhammad Shafiq Izwan yang bertanding atas tiket calon bebas dengan menggunakan simbol jam.

Manakala, Hua Meng yang sebelum ini pernah menjadi calon PRU-14 atas tiket Parti Rakyat Malaysia (PRM) menggunakan simbol gajah dan Raveendran pula pen.

Seramai 133,494 pengundi berdaftar, layak mengundi di Parlimen Ampang membabitkan 133,148 pengundi biasa, 305 anggota polis dan pasangan serta 41 pengundi tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pula pada 15 November.

Untuk rekod, pada PRU-14, Zuraida yang ketika itu Naib Presiden PKR berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Ampang dengan majoriti 41,956 undi dalam saingan empat penjuru atas tiket PKR.

Zuraida memperoleh 54,307 undi berbanding calon BN, Leong Kim Soon (12,351 undi), calon Pas, Nurul Islam Mohamed Yusoff (9,598) dan calon PRM, Tan Hua Meng (294 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 10:46 AM