SEMBILAN calon yang bertanding di Parlimen Ampang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SEMBILAN calon yang bertanding di Parlimen Ampang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Noor Hidayah Tanzizi


Image

Ampang: 'Lambakan' calon buat pertama kali di Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sehingga sembilan calon bertanding mendapat pelbagai reaksi pengundi kawasan itu.

Penjaja, Noraslaha Abdul Rahim, 40, mengakui 'tawaran' yang diberikan pada pilihan raya kali ini membuatkan dia agak 'rambang mata' untuk memilih wakil terbaik bagi mewakili mereka.

"Memanglah kita sudah ada parti sendiri yang akan dipilih nanti, tetapi calon bertanding kali ini dengarnya ramai dan susah juga nak pilih sebab kita nak juga tahu apa yang ditawarkan mereka.

"Dalam masa sama kita juga risau kalau banyak sangat macam ini (calon) adakah 'tawaran' itu akan menjadi kenyataan atau tidak nanti," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, sebagai penjaja dia mahu wakil rakyat yang dipilih nanti dapat memperjuangkan penjaja terutama mempermudahkan urusan lesen berniaga di tepi jalan.

"Permohonan lesen agak sukar dan permohonan saya pernah ditolak atas faktor lokasi. Apabila kita nak masuk tapak pihak berkuasa tempatan (PBT) banyak juga sudah penuh dan pelanggan biasa pula tidak ada nanti.

"Nasib baik PBT boleh bertolak ansur tetapi sampai bila? Susah sangat kita nak mohon lesen dan ini yang menjadi harapan buat wakil rakyat bantu kami," katanya yang turut mencadangkan lesen penjaja bergerak dapat diwujudkan bagi membantu penjaja tepi jalan.

Kerani, Mas Nora Soaddin, 43, mengakui dia juga terkejut apabila kawasan itu 'direbut' sembilan calon dalam PRU-15 yang sudah bermula hari ini.

Katanya, dia berharap walau siapa saja yang bakal menjadi wakil rakyat Ampang nanti, figura itu dapat mengutamakan kebajikan warganya sekali gus memberi perhatian isu penempatan dan kos sara hidup dalam situasi ketika ini.

"Tak sangka pula ramai yang berminat dengan Ampang tetapi saya tidak pening sangat sebab ada parti yang sudah lama disokong. Ahli Parlimen membawa suara rakyat ke tengah dan mereka mesti ada penyelesaian terbaik untuknya.

"Jadi saya harap apabila sudah dapat mandat nanti buatlah yang terbaik. Tetapi siapa saja yang akan dipilih nanti perlu lihat semua isu di sini kerana walaupun Ampang berada di pinggir Kuala Lumpur tetapi masih ramai miskin bandar," kata ibu kepada empat anak itu.

Sementara itu, pengawal keselamatan, S Rames, 49, berkata, pemilihan calon untuk pilihan raya kali ini memang ramai tetapi dia tidak mahu mereka hanya menawarkan 'janji manis' semata-mata untuk meraih undi.

"Saya juga ada pilihan calon dan parti sendiri tetapi tetap mahu melihat apa yang calon lain tawarkan. Kita sebenarnya tidaklah mahu banyak sangat calon cuma berharap satu calon yang mampu menyelesaikan masalah kita.

"Saya berharap sangat ada bantuan perumahan mampu milik untuk warga kurang berkemampuan, malah saya juga sudah lama menyewa rumah nak beli memang tak mampu kerana gaji tidak besar," katanya.

Pada PRU-15, Parlimen Ampang menyaksikan pertembungan sembilan penjuru antara penyandangnya, Datuk Zuraida Kamaruddin daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM), Ivone Low Yi Wen (BN), Rodziah Ismail (PH) dan Sasha Lyna Abdul Latif (PN).

Turut bertanding, Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang), Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng serta M Raveendran.

Untuk rekod, pada PRU-14, Zuraida yang ketika itu Naib Presiden PKR berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Ampang dengan majoriti 41,956 undi dalam saingan empat penjuru atas tiket PKR.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 6:18 PM