TAN Sri Abdul Hadi Awang (kiri) bersama Datuk Seri Shahidan Kassim (tengah) di Majlis Pengisytiharan di Dewan Tok Guru Rusila Marang. FOTO GHAZALI KORI
TAN Sri Abdul Hadi Awang (kiri) bersama Datuk Seri Shahidan Kassim (tengah) di Majlis Pengisytiharan di Dewan Tok Guru Rusila Marang. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah ZolkiplyBaharom Bakar dan Zaid Salim dan Faizul Azlan Razak.


Terengganu: Penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Shahidan yang digugurkan daripada calon Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Majlis

Ceramah Perdana sempena Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15, di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini, hari ini.

Selain Shahidan, penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Sri Ismail Abd Muttalib yang turut digugurkan daripada calon BN turut diumumkan mewakili PN bertanding mempertahankan kerusi itu.

Shahidan berkata tindakan untuk bersama PN diputuskan selepas nama 'calon boleh menang' yang dicadangkan ke pusat tidak dipedulikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mendakwa Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk mengubah namanya tanpa mengikut keputusan Top-5.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata gerakan perpaduan ummah perlu dan akan terus dilaksanakan.

"Bagi memastikan kemenangan PN, kita akan gempur Parlimen Arau secara habis-habisan.

"Terima kasih kepada seluruh pimpinan PN termasuk Abdul Hadi kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk bertanding di Parlimen Arau," katanya sambil berseloroh terpaksa bergegas pulang ke Arau untuk mengisi borang pencalonan selepas menerima watikah sebagai calon PN.

Yang turut hadir adalah Naib Presiden PAS, Datuk Ser Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Datuk Husain Awang dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Senator Datuk Razali Idris serta dihadiri kira-kira 10,000 ahli PN daripada seluruh negeri.

Bagaimanapun, Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan tidak hadir pada majlis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 11:41 PM