HISHAMMUDDIN. FOTO arkib NSTP
HISHAMMUDDIN. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) menerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) melaksanakan inisiatif bagi membantu warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapatkan barang keperluan harian pada harga rendah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, menerusi inisiatif itu penurunan harga sehingga 48 hingga 90 peratus akan dinikmati warga ATM di semua 93 kedai Pernama seluruh negara.

Menurutnya, penurunan harga itu membabitkan barang keperluan harian selain kelengkapan persekolahan bagi anak warga ATM.

"Penurunan harga ini membabitkan 200 produk keperluan harian seperti makanan, susu dan tepung yang dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran.

"Dengan pembelian produk ini, warga pertahanan boleh menikmati penjimatan lebih besar," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif penurunan harga di kedai Pernama yang akan dilaksanakan sebagai Jualan Akhir Tahun ini berkuat kuasa serta-merta bermula hari ini sehingga 31 Disember depan.

Katanya, Pernama juga diingatkan agar memastikan barang yang dijual menerusi inisiatif ini mempunyai stok mencukupi supaya penjimatan ini benar dapat dirasai manfaatnya oleh warga pertahanan.

"Kepimpinan Mindef akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa dan usaha membela kebajikan warga pertahanan akan diteruskan.

"Inisiatif ini juga demi kepentingan warga pertahanan yang amat berjasa kepada tanah air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 3:57 PM