Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kerajaan bersetuju menaikkan subsidi bagi telur ayam gred A, B dan C daripada lapan sen ketika ini kepada 10 sen bagi meningkatkan pengeluaran telur.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu berasaskan kepada kebenaran dan persetujuan pihak Kementerian Kewangan.

Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada minggu lalu yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu kedudukan bekalan telur ayam yang semakin meruncing.

"Pembentangan kos sebenar pengeluaran telur dikemukakan dan dikatakan kos pengeluaran bagi sebiji telur kira-kira 51 sen sebiji, manakala harga kawalan yang ditetapkan mengikut gred sekitar 41 sen.

"Kerajaan memberi subsidi pada peringkat awal sebanyak tiga sen sebelum jemaah menteri bersetuju menaikkan kepada lapan sen.

"Jumlah yang diperoleh oleh pengeluar lebih kurang 49 sen dan masih ada beza sebanyak dua sen yang menyebabkan pengeluar telur tidak berminat untuk mengeluarkan telur berasaskan permintaan yang diperlukan.

"Sebahagian daripada mereka mengambil tindakan untuk menyembelih ayam yang mencapai umur tertentu yang sepatutnya boleh lagi bertelur.

"Namun disebabkan kos adalah lebih mahal untuk mengekalkan ayam itu, mereka menyembelih lebih awal," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, ayam penggantian memakan masa sebelum ia dapat mengeluarkan telur.

Keadaan itu katanya menyebabkan pengeluaran telur ayam negara kurang hampir 100,000 biji setiap bulan berbanding keperluan.

"Perkara itu dibincangkan dan seperti mana saya maklumkan kita jawatankuasa jihad tidak dapat membuat keputusan secara pantas jika ia membabitkan kewangan dan kita rujuk kepada Kementerian Kewangan dan Penasihat Undang-Undang.

"Dua hari lalu, Menteri Kewangan (Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz) memaklumkan kepada saya subsidi telur dinaikkan lagi sebanyak dua sen.

"Ini menjadikan keseluruhan subsidi sebanyak 10 sen yang membabitkan telur gred A, B dan C dengan perbelanjaan semua melebihi RM20 juta.

"Dengan kenaikan subsidi dua sen ini ia menyamai kos pengeluaran iaitu 51 sen.

"Jadi, diminta jawatankuasa khususnya pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hendaklah segera melaksanakan guna perincian ini dan bolehlah merujuk kepada Bahagian Belanjawan Kementerian Kewangan," katanya.

Annuar berharap keputusan itu memberi kelegaan kepada pengeluar dan pada masa yang sama pihaknya perlu bekerjasama dengan mereka untuk meningkat pengeluaran dan juga pengedaran telur terutama di Pantai Timur kerana kebanyakan ladang berada di Pantai Barat.

Katanya, disebabkan permintaan di Pantai Barat tinggi menjadikan bekalan telur di Pantai Timur berkurangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 1:10 PM