BERNAMA

Putrajaya: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin masih tidak mengetahui di mana beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan akan menerima mana-mana kerusi yang diputuskan pucuk pimpinan parti untuknya.

"Tak tahulah (kerusi Parlimen mana). Biarlah diumumkan pucuk pimpinan parti. Saya terima mana-mana kawasan yang diberi kepada saya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal itu memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Menurut spekulasi, Khairy tiada dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Negeri Sembilan dan beliau dikatakan hampir pasti bertanding di Sungai Buloh, Selangor.

Sementara itu, Khairy berkata, calon yang didapati positif Covid-19 perlu menjalani tempoh isolasi seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan disaran menggunakan media sosial untuk berkempen.

Beliau juga menasihatkan calon dan parti yang bertanding dalam PRU-15 untuk sentiasa menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat.

"Kalau calon nak pergi lawatan rumah ke rumah, nak jumpa pesakit terlantar di rumah, tunjuklah teladan yang baik dengan memakai pelitup muka.

"Kalau kita adakan ceramah di dalam satu dewan dan dewan dah penuh, parti politik dan penganjur digalakkan untuk membuat pengumuman kepada mereka yang hadir supaya digalakkan pakai pelitup muka," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU-15 pada 19 November, penamaan calon (5 November) dan pengundian awal pada 15 November.

KHAIRY berucap pada program forum Designing the future - What's Next for Malaysia. FOTO Hazreen Mohamad
KHAIRY berucap pada program forum Designing the future - What's Next for Malaysia. FOTO Hazreen Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 4:45 PM