Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kajian mengenai tragedi banjir di Baling, Kedah sudah siap.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kajian berkenaan membabitkan beberapa kementerian dan kerajaan negeri serta pakar-pakar geologi.

"Petang ini saya akan diberikan taklimat oleh jawatankuasa khas yang menyiasat peristiwa banjir kepala air di Baling, Kedah.

"Kajian ini dilakukan beberapa kementerian diketuai oleh KeTSA, kerajaan negeri dan pakar geologi yang mana mereka turun ke lapangan, menggunakan helikopter serta dron" katanya selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Islah, di sini, hari ini.

TAKIYUDDIN (kiri) beramah mesra dengan murid-murid ketika hadir merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan SK Islah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAKIYUDDIN (kiri) beramah mesra dengan murid-murid ketika hadir merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan SK Islah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Takiyuddin berkata, beliau dimaklumkan banjir masih berlaku di Baling dan kerajaan pusat serta kerajaan negeri sedang memantau bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Sementara itu, ketika ditanya banjir kilat yang melanda di Johor petang semalam, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, bencana yang berlaku di Johor adalah fenomena alam namun kerajaan amat komited menyelesaikan punca masalah yang berlaku.

"Di bawah KeTSA, kita melancarkan 100 juta tanaman pokok dalam tempoh lima tahun dalam usaha meminimumkan masalah banjir kilat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 11:30 AM