Aizat Sharif

Kangar: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan kepada pertimbangan pucuk pimpinan PKR untuk menentukan sama ada beliau dapat meneruskan usaha untuk merampas kembali Parlimen Gombak daripada penyandangnya Datuk Seri Azmin Ali dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden PKR yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Tua itu berkata, meskipun terdapat permintaan daripada jentera parti itu yang mahukannya bertanding di Parlimen Gombak, beliau menyerahkan segalanya kepada pertimbangan parti menerusi pengumuman calon esok.

"Itu kena tunggulah pengumuman rasmi esok saya tiada kuasa untuk mengumumkannya tapi ada juga permintaan rakan-rakan khususnya jentera parti dan sebagainya yang mahukan saya ke Parlimen Gombak.

"Insya-Alah, kalau terpilih kita akan buat sehabis baik untuk pastikan PKR meneruskan kemenangan di Parlimen Gombak sejak 2008," katanya selepas menghadiri Program Minum Petang Bersama Jentera Keadilan Parlimen Kangar sempena Jelajah Mega Harapan Negeri Perlis di sebuah restoran di Jalan Sekolah Derma, di sini hari ini.

AMIRUDIN Shari. FOTO Faiz Anuar.
AMIRUDIN Shari. FOTO Faiz Anuar.

Katanya, buat masa ini beliau sebagai anggota parti perlu sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku.

"Sebagai anggota parti yang patuh, kita kena sentiasa bersedia untuk menjalankan tugas dan arahan selain melaksanakannya walaupun ada perbezaan dalam perbincangan.

"Jikalau keputusan sudah dibuat, kita harus ikut kerana ini adalah disiplin biasa dalam parti dan sama ada saya bertanding di Parlimen (Gombak) atau tidak kita sama-sama nantikan pengumuman esok.

"Malah, selagi belum tiba hari penamaan calon juga kadang-kadang akan berlaku pelbagai pertimbangan semula dalam pemilihan calon nanti kerana itu pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Amirudin turut mengulas desas-desus bahawa Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa yang dikatakan turut 'mengintai' kerusi Parlimen Gombak.

"Sejak 2008, ia adalah kerusi tradisi PKR meskipun sebelum itu ia adalah kerusi PAS pada 1999 dan 2004 di mana Datuk Dr Hatta Ramli pernah bertanding dan tewas di kerusi itu pada kedua-dua PRU berkenaan.

"Sehingga sekarang kita (PKR) berjaya mengekalkan pencapaian cemerlang yang berterusan di Parlimen Gombak kerana pengundi kita setia dengan PKR dan kita yakin akan pastikan jentera kita bekerja sebaik mungkin untuk dapatkan kepercayaan rakyat di parlimen itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 9:00 PM