BERNAMA

Ipoh: Kerusi Parlimen Tapah akan ditandingi oleh calon PKR dan bukannya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan terakhir mengenai pembahagian kerusi antara kepimpinan Pakatan Harapan (PH) telah diadakan semalam dan memutuskan kerusi itu kekal ditandingi oleh calon daripada PKR.

"Kita juga sudah berbincang dan putuskan (kerusi Parlimen) Sungai Siput dan Tapah serta Sembrong (Johor) kekal ditandingi calon daripada PKR.

"Walaupun ada pengumuman (Muda bertanding di Parlimen Tapah) tetapi ia tidak betul kerana Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) telah maklumkan kepada saya bahawa (kenyataan Pengerusi Muda Perak Mutalib Uthman) tidak mewakili Muda, Tapah itu kerusi PKR," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis minum petang bersama Anwar Ibrahim di Warung Nasi Lemak Kak Nor di Kampung Ulu Chemor di sini hari ini.

Sebelum ini, Mutalib dalam kenyataannya memaklumkan keputusan bertanding di Parlimen Tapah dibuat hasil rundingan kerjasama politik antara Muda dan PH.

Anwar juga berkata, Majlis Presiden PH telah bersetuju kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong kekal ditandingi DAP hasil keputusan secara konsensus setelah mengambil kira pandangan kedua-dua parti iaitu DAP dan Amanah.

"Walaupun Amanah berikan hujah yang agak kuat (untuk bertanding di kerusi DUN Changkat Jong) tetapi setelah mengambil kira keputusan pelbagai pihak, kepimpinan PH (bersetuju) DUN Changkat Jong adalah untuk DAP," katanya.

ANWAR berucap pada Program Minum Bersama Anwar Ibrahim di Warung Nasi Lemak Kak Nor, Kampung Ulu Chemor hari ini. FOTO Bernama.
ANWAR berucap pada Program Minum Bersama Anwar Ibrahim di Warung Nasi Lemak Kak Nor, Kampung Ulu Chemor hari ini. FOTO Bernama.

Media sebelum ini melaporkan DAP dan Amanah dilihat bertelagah berhubung DUN Changkat Jong apabila kedua-dua parti menamakan calon untuk bertanding di kerusi itu.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bagaimanapun menegaskan tidak akan berlaku pertembungan kerana pucuk pimpinan PH sudah membuat keputusan menyerahkan kerusi itu kepada DAP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 10:11 PM