Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Abdullah Mohamad, yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

"Seri Paduka berdua menyanjung tinggi jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada bidang penyiaran dan media negara," menurut catatan itu.

Abdullah, 91, seorang penerbit televisyen perintis di Malaysia, meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada 5 pagi tadi.

Berasal dari Muar, Johor, Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran pada 1975 dan bersara pada 1986.

Antara pencapaian Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah pentadbirannya ialah pengenalan siaran televisyen berwarna di Malaysia dan peluasan siaran televisyen ke stesen Sabah dan Sarawak.

Allahyarham mula berkecimpung dalam bidang penyiaran pada Januari 1954 sebagai juruhebah dan penterjemah, seterusnya berkhidmat di Bahagian Melayu British Broadcasting Corporation, London bermula 1957 hingga 1962.

Allahyarham yang juga pengasas dan presiden pertama Persatuan Veteran RTM pernah menerima anugerah Tokoh Seri Angkasa pada 2010, dan National Press Club (NPC) juga pernah menganugerahkan beliau dengan NPC-Ambank Media Legend Award 2012 bagi menghargai sumbangannya kepada industri media negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 5:40 PM