FERI Bahagia 98 yang terkandas akibat cuba mengelak dari melanggar  tali sauh di laluan feri berhampiran jeti Kuala Kedah. FOTO ihsan Ferrylines Ventures
FERI Bahagia 98 yang terkandas akibat cuba mengelak dari melanggar tali sauh di laluan feri berhampiran jeti Kuala Kedah. FOTO ihsan Ferrylines Ventures
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kejadian feri Langkawi ke Kuala Kedah yang terkandas di alur pelayaran Kuala Kedah Ahad lalu dipercayai cuba mengelak daripada melanggar tali sauh kapal yang berada di laluan feri.

Feri Bahagian 98 yang membawa 547 penumpang itu terkandas pada 2.45 petang Ahad lalu.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, ketika kejadian paras air laut di alur pelayaran Kuala Kedah adalah berapa pada paras selamat untuk pelayaran iaitu 1.7 meter.

"Hasil siasatan mendapati feri itu bergerak dari Terminal Feri Penumpang Kuah dengan membawa 547 penumpang sebelum terkandas di beting pasir pada kedudukan lebih kurang 1.5 batu nautika dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah.

"Bantuan menunda daripada Tug Boat Ocean Blue tiba di lokasi kejadian tetapi gagal menarik keluar Feri Bahagia 98 daripada Beting Pasir disebabkan air laut surut dengan cepat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dua bot digunakan untuk menunda Feri Bahagia 98 dan berjaya dilabuhkan di Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah.

Ahad lalu, feri yang membawa 547 penumpang Langkawi ke Kuala Kedah tersangkut di tebing lumpur disebabkan air laut surut di perairan jeti Kuala Kedah.

Bagaimanapun, 272 penumpang berjaya dibawa keluar dari feri ke dalam bot nelayan ke jeti Kuala Kedah manakala baki sebahagiannya berada dalam feri yang berjaya ditunda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 2:28 PM