TANGAN kiri kanak-kanak lelaki yang tertusuk besi pagar di Pokok Sena. FOTO ihsan JBPM
TANGAN kiri kanak-kanak lelaki yang tertusuk besi pagar di Pokok Sena. FOTO ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang menahan kesakitan selepas tangan kirinya tertusuk besi pagar diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah di Pokok Sena hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.46 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sam Khan a/l Prak Prom Keu tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.

"Setibanya di lokasi didapati, kanak-kanak lelaki terbabit sedang menahan sakit akibat tangan kirinya tertusuk besi pagar berkenaan.

"Anggota kita bertindak memotong besi terbabit dengan menggunakan mesin milik orang awam dan menyerahkan mangsa kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 8:13 PM