AHMAD Zamry (tengah) menunjukkan barangan kes berkaitan kes pembunuhan seorang wanita. FOTO Ahmad Ismail
AHMAD Zamry (tengah) menunjukkan barangan kes berkaitan kes pembunuhan seorang wanita. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: Angkara dendam, seorang wanita maut dipercayai ditetak bekas pekerjanya di Jalan Ladang Sungai Labis, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, wanita berusia 35 tahun itu ditetak dengan parang di leher dan beberapa anggota badan oleh lelaki berusia 45 tahun terbabit.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian bermula dengan pertengkaran mulut dan pergaduhan dipercayai disebabkan dendam lama.

Katanya, suspek tidak lagi bekerja selama dua bulan di kandang lembu milik mangsa.

"Berlaku pertelingkahan antara mereka. Suspek yang menaiki sebuah motosikal menetak mangsa dengan sebilah parang dan terus melarikan diri dari lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, motif sebenar kejadian itu masih dalam siasatan lanjut," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan di sebuah kafe di sekitar Labis kira-kira 10 malam kelmarin lalu, manakala seorang lagi lelaki berusia 37 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Parang dipercayai digunakan ketika kejadian, seutas rantai emas, seutas tali warna kekuningan, telefon bimbit dan dua unit kamera litar tertutup (CCTV) antara bukti ketika kejadian itu juga sudah ditemukan.

"Suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap serta miliki satu rekod jenayah juga dua rekod lampau berkaitan dadah, selain pernah menggunakan motosikal Honda dilaporkan hilang pada 23 Mac 2020 lalu di Labis," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman enam hari sehingga 27 Oktober depan.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat untuk bedah siasat.

"Polis turut menyeru hentikan menyebar maklumat tular yang boleh mengganggu siasatan dan dakwaan mangsa dibunuh kerana kes samun tidak tepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 6:30 PM