Ahmad Hasbi


Seremban: Peniaga kecil-kecilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian wanita bergelar Datin berusia 70-an, hujung bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Faizul Mohamad Ali Kamil, 45, mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian Noraida Nordin, 75, di dapur sebuah rumah di Jalan Kedidi 7, Taman Paroi Jaya, Seremban antara jam 4.50 petang hingga 8 malam pada 23 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam Sritharan C N dan P Praveen.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Disember depan.

Media pada 24 September lalu melaporkan wanita ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada badan selain beberapa barangan peribadinya hilang di rumahnya di Taman Paroi Jaya.

Susulan kejadian itu, suspek utama dipercayai menghilangkan diri dan gagal dihubungi sebelum polis menggerakkan usaha mengesan individu terbabit.

Selepas lebih dua minggu diburu, suspek ditahan jam 1 tengah hari, 8 Oktober lalu di sebuah pondok di tepi jalan dekat Batu 4, Jalan Port Dickson-Teluk Kemang, Port Dickson.

MOHD Faizul dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas tuduhan menyebabkan kematian seorang warga emas bergelar Datin. FOTO Azrul Edham
MOHD Faizul dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas tuduhan menyebabkan kematian seorang warga emas bergelar Datin. FOTO Azrul Edham

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 11:38 AM