Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memukul isterinya, Ogos lalu.

Tertuduh, Mohd Asrol Kamal Mohd, 32, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan tangan terhadap isterinya yang berusia 25 tahun di dalam kereta di Kampung Langgar Tapang Panji di sini, jam 12.01 tengah malam, pada 15 Ogos 2022.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun, atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yusnaliza Mohammad Yusoff, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.

Terdahulu, Yusnaliza menawarkan jaminan RM8,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Siti Atikah memohon mahkamah membenarkan ikat jamin kerana tertuduh adalah penanggung tunggal isteri dan mempunyai tiga anak serta turut menanggung ibu dan bapa.

"Saya memohon mahkamah membenarkan jaminan yang rendah kepada tertuduh," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan

Mahkamah menetapkan 20 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

ASROL didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memukul isterinya, Ogos lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ASROL didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memukul isterinya, Ogos lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 2:01 PM