LIM (dua, kanan) menyampaikan sijil kewarganegaraan kepada Muhammad Shaffiq Izudin Aziz dan  Khadijah pada Program Temu Seru JPN Negeri Melaka  hari ini. Turut hadir Norazlee Sulaiman (kanan). FOTO Bernama.
LIM (dua, kanan) menyampaikan sijil kewarganegaraan kepada Muhammad Shaffiq Izudin Aziz dan Khadijah pada Program Temu Seru JPN Negeri Melaka hari ini. Turut hadir Norazlee Sulaiman (kanan). FOTO Bernama.
BERNAMA

Melaka: Perjuangan dan penantian selama lapan tahun Khadijah Padzli, 64, untuk mendapatkan sijil kewarganegaraan anak angkatnya Muhammad Shaffiq Izudin Aziz Abdul Rahim, 10, akhirnya membuahkan hasil apabila permohonan untuk mendapatkan dokumen itu diluluskan.

Khadijah yang berasal dari Kampung Tengah di Klebang Besar di sini berkata, dia dan arwah suami, Abdul Aziz Hashim telah menjaga Muhammad Shaffiq Izudin Aziz sejak kanak-kanak itu berusia dua tahun dan pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan sijil kewarganegaraan itu.

"Mak cik sangat bersyukur apabila dimaklumkan permohonan mendapatkan sijil kewarganegaraan buat Muhammad Shaffiq Izudin Aziz akhirnya diluluskan.

"Walaupun mengambil masa agak lama, kita faham kerana banyak prosedur yang perlu dilalui kerana membabitkan banyak proses undang-undang lebih-lebih lagi jika bukan warganegara," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Temu Seru Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Melaka di sini hari ini.

Pada program itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong menyerahkan sijil kewarganegaraan kepada Muhammad Shaffiq Izudin Aziz yang turut dihadiri Pengarah JPN Melaka Norazlee Sulaiman.

Khadijah berkata, sijil kewarganegaraan itu penting kerana tanpa dokumen berkenaan, akan menyukarkan Muhammad Shaffiq Izudin Aziz untuk membuat permohonan MyKid selain menjejaskan urusan persekolahan dan kemudahan kesihatan.

"Tanpa sijil kewarganegaraan, banyak perkara tidak dapat dilakukan. Sebelum ini saya hendak bawa dia menunaikan umrah juga tidak dapat tetapi saya berharap impian ini dapat dimakbul Allah selepas ini.

"Walaupun dia anak angkat tapi saya telah menganggapnya macam anak sendiri dan kasih sayang terhadapnya tidak pernah berbelah bahagi dengan seorang lagi anak saya yang telah berusia 32 tahun.

"Saya ingin dia mendapat penjagaan dan pendidikan yang sempurna," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak termasuk JPN dan Lim kerana membantu memudahkan urusan permohonan berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Shaffiq Izudin Aziz berkata dia berasa gembira mendapat sijil kewarganegaraan berkenaan kerana sebelum ini gagal menyediakan dokumen itu apabila diminta pihak sekolah.

"Selalu, apabila cikgu minta surat beranak atau MyKid, saya hanya boleh jawab belum dapat sahaja.

"Setiap hari saya berdoa kepada Allah supaya dimakbulkan doa untuk mendapat dokumen ini," katanya.

Dalam pada itu, Norazlee berkata, JPN Melaka sentiasa terbuka memberikan khidmat nasihat, runding cara dan bantuan kepada mana-mana individu yang mempunyai masalah khususnya berkaitan pengurusan rekod peribadi seperti sijil lahir, MyKad, MyKid atau urusan kewarganegaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 4:19 PM