SHAM Mat Sahat (tengah) dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Bagan Serai. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
SHAM Mat Sahat (tengah) dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Bagan Serai. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Umno Bahagian Bagan Serai tekad untuk merampas semula kerusi Parlimen Bagan Serai yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata, pihaknya sudah menyenaraikan 16 nama calon untuk diketengahkan bagi kerusi Parlimen serta tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) kepada Umno negeri untuk tapisan pertama dan kemudiannya ke peringkat Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk dimuktamadkan.

Menurutnya dari jumlah itu terdapat beberapa muka baru yang akan diketengahkan pada PRU-15 nanti.

"Pada PRU lalu, kita (BN) memenangi kerusi Parlimen di mana pada waktu itu kita membawa Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sebagai calon.

"Namun kerusi Parlimen kita itu 'dibawa lari' selepas beliau (Noor Azmi) meninggalkan BN dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"PRU kali ini kita tekad untuk merampas semula kerusi parlimen dan akan mempertahankan dua Dun tradisi yang dimenangi iaitu Selinsing dan Alor Pongsu dan dalam masa sama kita akan memenangkan Dun Gunung Semanggol yang kita tewas, "katanya.

Menurutnya pihaknya tidak merasakan kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) yang bertelagah dalam soal penentuan calon sebagai satu kelebihan sebaliknya gerak kerja Umno bahagian lebih menjurus dalam memenangi hati rakyat termasuk golongan muda.

"Keyakinan kita ini bukanlah satu cakap kosong dan kita akan buktikan dalam gelanggang PRU-15 nanti, "katanya

"Kita berkeyakinan atas usaha Umno sendiri yang dilakukan di lapangan bagi seluruh rakyat di Bagan Serai.

"Soal adanya pertelingkahan dalaman antara parti komponen pihak lawan bukanlah satu kelebihan bagi Umno dan kita bukan mengambil kesempatan diatas kemelut itu.

"Gerak kerja kita lebih kepada membantu permasalahan rakyat dan dalam masa sama memenangi hati pengundi muda yang masih 'kosong' dalam dunia politik," katanya.

Tambahnya di Parlimen Bagan Serai terdapat 20,000 pertambahan pengundi muda dan gerak kerja bahagian kini turut tertumpu kepada generasi itu bagi mengelakkan mereka tersalah pilih pemimpin atau parti yang boleh menjamin masa depan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 1:34 PM