ZAKARIA  menunjukkan bonsai cucur atap yang berusia lebih 100 tahun yang berharga RM15,000.
ZAKARIA menunjukkan bonsai cucur atap yang berusia lebih 100 tahun yang berharga RM15,000.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Setiu: Bonsai cucur atap yang berusia 100 tahun dan berharga RM15,000 antara koleksi bonsai paling bernilai dimiliki oleh seorang pencari bonsai dari Kampung Bari di sini.

Zakaria Mat Husin, 58, mampu meraih pendapatan lumayan hasil mencari dan menjual pokok hiasan bonsai cucur atap.

Kegiatan mencari dan menjual bonsai itu dijalankan Zakaria sejak 15 tahun lalu di sekitar Setiu termasuk di pulau berdekatan seperti Pulau Redang.

Zakaria berkata, dia bermula sebagai tukang rumah sebelum meminati pokok hiasan bonsai.

"Saya berhenti menjadi tukang rumah dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap kegiatan mencari dan mencantikkan bonsai.

"Permintaan bonsai sentiasa meningkat dari masa ke semasa dan ia bukan hobi yang bermusim seperti tanaman hiasan lain.

"Kerana bonsai sentiasa mempunyai permintaan menyebabkan saya kekal dalam perniagaan bonsai itu," katanya ketika ditemui di Alang Nursery Bonsai miliknya, hari ini.

Katanya, dia mempunyai lebih 800 bonsai yang dicari sendiri di dalam hutan sebelum mencantikkannya.

"Sekarang bonsai yang paling laris dan diminati ramai ialah jenis bonsai pokok cucur atap atau lebih dikenali dengan panggilan corong atap di kalangan penduduk setempat.

"Pokok cucur atap itu banyak tumbuh liar di kawasan pantai dan hutan Setiu oleh itu ia senang untuk dicari.

"Bagaimanapun ia tidak semudah yang disangka kerana bonsai hanya terbentuk pada pokok cucur atap yang berusia," katanya.

Tambahnya, dia mempunyai bonsai cucur atap yang berusia lebih 100 tahun dan ia berharga RM15,000 sepokok.

"Bonsai terbentuk dalam tempoh yang sangat lama selain memerlukan teknik khas bagi mencantikkan bonsai itu.

"Sebab itu harga bonsai mahal kerana ia bukan jenis tanaman hiasan yang tanam hari ini dan sebulan kemudian cantik.

"Orang yang minat bonsai akan faham kenapa harga bonsai yang siap berharga RM1,000 ke atas," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana meminati pokok bonsai sehingga hobi itu kini menjadi sumber pendapatan utama kepadanya.

"Selain mencari, mencantikkan dan menjual bonsai, saya juga aktif menyertai pertandingan bonsai yang dianjurkan di seluruh negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 7:00 AM