SEORANG jurutera JKR dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM20,000 pada 2020. FOTO Norzamira
SEORANG jurutera JKR dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM20,000 pada 2020. FOTO Norzamira
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM20,000 bagi projek penyelenggaraan cerun kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Izwan Mashuri, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kertas pertuduhan, Izwan yang bertugas sebagai Jurutera Awam Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR didakwa menerima wang berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki berusia 35 tahun menerusi pindahan wang atas talian dari akaun milik Uji Teguh Resources ke akaun milik SBR Consultant tanpa balasan yang mana tertuduh mengetahui lelaki itu mempunyai hubungan kerja-kerja rasminya berhubung projek penyelenggaraan cerun di jalan persekutuan dan jalan negeri Semenanjung Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank tempatan di Gombak pada 14 Disember 2020.

Kesalah didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama iaitu jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Atiqah Mohamad Alias, manakala tertuduh diwakili peguam Hamdan Hamzah.

Mahkamah membenarkan wang jaminan berjumlah keseluruhan RM35,000 yang ditetapkan di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur digunapakai untuk pertuduhan hari ini dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri ke Ibu Pejabat SPRM setiap bulan.

Rozilah turut membenarkan perbicaraan kes berkenaan diadakan bersekali dengan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 5:16 PM