Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Individu yang mendapatkan rawatan di Jabatan Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) meningkat sekali ganda selepas penularan pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

Ketua Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Prof Madya Dr Mohd Azhar Mohd Yasin berkata, seramai 2,482 orang termasuk penuntut, mendapatkan rawatan awal psikologi tahun lalu, melalui perkhidmatan Talian Sokongan Psikososial Covid-19.

Katanya, perkhidmatan itu ditubuhkang HUSM bagi memberikan bantuan dan sokongan kesihatan mental sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Antara penyakit psikiatri umum yang dirawat adalah skizophrenia iaitu (masalah mental kronik), Bipolar Disorder, kemurungan dan kebimbangan atau kegelisahan tanpa sebab munasabah.

"Ketika Covid-19, pesakit berhadapan dengan perubahan dan reaksi psikologi seperti keresahan, takut, bimbang, marah, ragu-ragu, tertekan atau merasa tidak mampu untuk bertahan terutama dalam meneruskan tugas.

"Walaupun mungkin ada individu boleh mengatasi kesan psikologi ini dengan yakin dan tenang, ada juga yang tidak berjaya serta memerlukan sokongan luar, Di sinilah khidmat nasihat dan kaunseling diperlukan," katanya.

Beliau ditemui selepas Sambutan Hari Kesihatan Mental 2022 Peringkat Kelantan yang dirasmikan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Dr Shaharum Shamsuddin di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaacob.

Dr Mohd Azhar berkata, masyarakat perlu memberi perhatian kepada ahli keluarga masing-masing supaya tidak dibelenggu masalah mental hingga gagal mendapat rawatan diperlukan.

Katanya, penyakit itu juga masih boleh diubati dengan rawatan yang betul berbentuk perubatan dan pemulihan.

Menurutnya, Pusat Inkubator Rehabilitasi Psikiatri HUSM turut menyediakan platform untuk pesakit mental pulih mendapatkan latihan asas vokasional sebagai persediaan memasuki lapangan pekerjaan.

Untuk rekod, setiap tahun Klinik Psikiatri HUSM merawat lebih 10,000 pesakit luar dan lebih 2,000 dirawat di wad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 12:52 PM
Shaharum, di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (tiga dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang majikan pada Sambutan Hari Kesihatan Mental 2022 Peringkat di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Shaharum, di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (tiga dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang majikan pada Sambutan Hari Kesihatan Mental 2022 Peringkat di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI