Tanjung Piai.
Tanjung Piai.
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: UMNO Bahagian Tanjung Piai berharap kerusi Parlimen kawasan itu diberikan kepada calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Bahagian UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan, berkata sudah tiba masanya UMNO diberikan kerusi yang ditandingi MCA selama empat penggal menerusi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Katanya, UMNO Bahagian Tanjung Piai juga konsisten mahu penggiliran kerusi berkenaan dibuat sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 2019.

"Ini adalah kemahuan akar umbi sejak sekian lama, malah UMNO Tanjung Piai sudah menghantar petisyen supaya kerusi kawasan ini digilirkan kepada UMNO, bulan lalu.

"Petisyen itu ditandatangani 93 Ketua Cawangan UMNO Bahagian Tanjung Piai dan sudah diserahkan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Memandangkan peratusan pengundi Melayu di Tanjung Piai kini sudah hampir 58 peratus berbanding 41 peratus pengundi Cina, sudah tiba masanya kerusi Parlimen Tanjung Piai dikembalikan kepada UMNO.

"Rakyat serta akar umbi di Tanjung Piai mahukan aura dan muka baharu serta gerak kerja yang lebih segar untuk mengekalkan minat pengundi sekali gus mencapai kejayaan pada PRU-15 nanti," katanya ketika dihubungi.

Sebelum PRK Tanjung Piai, Ahmad Zahid dilaporkan memberi bayangan parti itu mungkin akan bertanding berikutan masyarakat Tanjung Piai dan parti berkenaan mahukan pembaharuan di kawasan Parlimen itu.

Bagaimanapun, Jeck Seng yang juga Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai dicalonkan sebagai calon BN di PRK Tanjung Piai yang diadakan pada 16 November 2019 dan menang dengan majoriti 15,086 undi.

Dalam pada itu, Jefridin yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kukup berkata, beliau juga berharap MCA ikhlas bekerjasama dan menyokong siapa jua calon yang akan diletakkan bertanding di Parlimen Tanjung Piai, jika kerusi itu digilirkan kepada UMNO.

Katanya, ia sebagaimana UMNO Tanjung Piai menyokong dan bekerja keras memenangkan Jeck Seng pada PRK Tanjung Piai lalu.

"Presiden MCA sebelum ini juga ada membuat kenyataan bahawa pengundi Cina sudah kembali ke pangkuan BN maka parti itu perlu yakin kekuatan mereka walau di mana pun mereka diletakkan.

"Apatah lagi, UMNO Tanjung Piai sudah menyerahkan kerusi DUN Pekan Nanas kepada MCA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, jadi kami harap MCA turut menghormati kesepakatan dibuat dengan menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada UMNO," katanya.

Bagaimanapun, Jefridin berkata, UMNO Tanjung Piai akan menghormati apa jua ketetapan dibuat Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN.

"Jika ditakdirkan UMNO menjadi calon di Tanjung Piai kita bersyukur kerana apa yang diperjuangkan begitu lama sudah mencapai matlamat, namun jika tidak kami akan akur dengan pucuk pimpinan," katanya.

#kw Parlimen, Tanjung Piai, UMNO, tuntut, tanding, MCA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 3:07 PM