AHMAD Zahid ketika berucap pada Perhimpunan Agung Kongres India Malaysia ke-76 di Mitec hari. FOTO Bernama
AHMAD Zahid ketika berucap pada Perhimpunan Agung Kongres India Malaysia ke-76 di Mitec hari. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Umno memohon Parlimen dibubarkan ketika kerajaan campuran berada di puncak kuasa demi kemaslahatan dan masa depan rakyat serta negara, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, ia langkah yang tepat bagi memberi kuasa penentuan kepada rakyat untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negara.

Dalam hantaran Facebook rasminya beliau berkata, Umno berjiwa besar pada 2020 merestui sebilangan wakil rakyatnya bekerjasama dalam membentuk kerajaan sementara bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negara daripada kucar-kacir selepas Kerajaan PH tumbang akibat perebutan kuasa.

"Syukur Alhamdulillah mandat akhirnya dikembalikan kepada rakyat untuk membuat penentuan mutlak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan menyifatkan pembubaran Parlimen pada hari sebagai laluan kepada masyarakat India untuk menentukan masa hadapan mereka melalui PRU-15.

Beliau berkata, hubungan baik MIC dan Umno dalam BN mampu membuahkan hasil sekali gus menjamin masa depan baik kaum India.

"MIC memang dah lama bersedia untuk PRU-15. Saya minta masyarakat India untuk menilai dan memilih calon atau parti politik dengan ketepikan emosi," katanya.

Sekiranya, PRU-15 diadakan pada musim perayaan Deepavali, beliau berkata, ia perlu dianggap sebagai peluang untuk membantu rakyat dan bukan menjadikan Deepavali sebagai alasan untuk tidak menjalankan kewajiban.

Manakala Ketua Umno Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata, selaras dengan amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, beliau mengajak rakyat Malaysia tunaikan tanggungjawab membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.

Annuar berkata, ia perlu supaya rakyat Malaysia boleh menumpukan sepenuh perhatian dan keupayaan mengharungi cabaran mendatang, membina semula ekonomi dan memacu negara serta kesejahteraan hidup rakyat.

Dalam pada itu, Presiden Parti Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam kenyataan berkata, Gerakan kecewa dengan pengumuman pembubaran Parlimen yang menyebabkan PRU-15 mungkin perlu diadakan pada musim tengkujuh.

Beliau berkata, Gerakan menyifatkan PRU-15 bukan keutamaan bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda Malaysia ini terutamanya ketika negara bakal berdepan musim tengkujuh namun semua jentera di semua peringkat akar umbi parti dan komponen Perikatan Nasional sudah bersiap sedia menghadapinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 11:00 PM