Onn Hafiz.
Onn Hafiz.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi merayu supaya rakyat negeri ini memilih kerajaan Persekutuan yang sehaluan dengan Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Onn Hafiz berkata, kerajaan Persekutuan yang sehaluan dengan negeri akan membolehkan Johor mendapat lebih banyak peruntukan dan bantuan daripada Pusat yang disalurkan kepada rakyat.

Katanya, ia sekali gus akan membantu dalam usaha pembangunan negeri mencapai sasaran negeri maju menjelang 2030.

"Saya merayu kepada rakyat Johor, bila tiba masanya, pilihlah kerajaan Persekutuan yang sehaluan dengan Kerajaan Johor.

"Bagi Johor yang telah melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) enam bulan lalu, adalah penting juga untuk memulangkan mandat kepada rakyat bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil dan selari dengan kerajaan negeri.

"Kestabilan politik yang dikecapi kerajaan negeri hari ini telah membolehkan Johor mencapai beberapa kejayaan membanggakan dari aspek ekonomi, pelaburan, pelancongan dan sukan dalam hanya tempoh yang singkat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini untuk memberi laluan kepada PRU-15.

Ismail Sabri mengumumkan perkara itu secara langsung menerusi saluran televisyen tempatan jam 3 petang tadi.

"Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong telah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya supaya Parlimen ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 6:57 PM