GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes kematian wanita bergelar Datin dekat Taman Paroi Jaya, di sini, bulan lalu, ditahan polis tengah hari kelmarin.

Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di sebuah pondok di tepi jalan dekat Batu 4, Jalan Port Dickson-Teluk Kemang, Port Dickson, kira-kira jam 1 tengah hari, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya turut merampas barang kes iaitu barang kemas milik mangsa daripada suspek.

"Polis berjaya menangkap seorang lelaki berumur 45 tahun yang disyaki terbabit di dalam kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Barang kemas milik si mati dirampas daripada lelaki berkenaan.

"Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dimohon di Mahkamah Majistret Seremban bagi tujuan siasatan sehingga 14 Oktober depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanda berkata, dengan tertangkapnya lelaki itu, polis percaya dapat menyelesaikan kes berkenaan dan mengucapkan ribuan terima kasih atas maklumat yang diberikan orang ramai sehingga tertangkapnya suspek.

Media pada 24 September melaporkan seorang wanita berusia 70-an ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Taman Paroi Jaya.

Siasatan awal menemui kesan kecederaan pada badan mangsa malah beberapa barangan peribadinya juga hilang.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki yang juga suspek utama dipercayai menghilangkan diri dan gagal dihubungi sebelum polis menggerakkan usaha mengesan individu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 11:28 AM