Ismail Sabri ketika berucap pada program Kenduri Sekampung Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Felda Palong hari ini. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri ketika berucap pada program Kenduri Sekampung Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Felda Palong hari ini. FOTO BERNAMA
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Nasib sengsara pekebun kecil getah yang terpaksa 'mengikat perut' susulan musim tengkujuh tidak pernah diabaikan.

Ini terbukti apabila Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah dinaikkan kepada RM800 berbanding RM600 menerusi Bajet 2023.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu turut disalurkan kepada pekebun kecil getah Felda di seluruh negara.

Beliau berkata, dasar pemberian yang mensyaratkan hanya pekebun kecil getah yang mempunyai tanah seluas bawah lima ekar (2.02 hektar) sebelum ini akan diubah kepada 10 ekar (4.05 hektar) ke bawah.

"Dulu kita payah nak bagi sebab (syaratnya) lima ekar ke bawah sedangkan di Felda kebanyakan mereka ada tanah 10 ekar ke bawah. Jadi kita minta ubah dasar itu untuk membolehkan mereka dapat (BMT). Kita tahu harga getah turun dan mereka langsung tak boleh menoreh getah sebab musim hujan.

"Menoreh musim hujan tapi susu getah bercampur air hujan, saya tahu kesusahan pekebun kecil termasuk mereka di Felda. Jadi apa yang pekebun kecil Risda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) dapat iaitu sebanyak RM200 sebulan untuk empat bulan maka pekebun kecil getah di Felda juga akan dapat, inilah kerajaan kita," katanya pada program Kenduri Sekampung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Sembilan, di sini, semalam. Turut hadir Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Jempol Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 4:40 PM