SYED Saddiq hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes pecah amanah, menyalahgunakan harta dan pengubahahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
SYED Saddiq hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes pecah amanah, menyalahgunakan harta dan pengubahahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Faris Fuad

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, tadi, menetapkan 28 Oktober hadapan bagi keputusan sama ada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibebaskan atau dipanggil membela diri atas empat pertuduhan termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan lisan pendakwaan serta pembelaan Ahli Parlimen Muar dan bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd 'Afif Ali, manakala peguam, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Ahli Parlimen Muar itu.

Pada 27 September lalu, pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 30 saksinya selesai memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 21 Jun lalu.

Saksi terbabit termasuk ibu dan bapa Syed Saddiq iaitu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz serta Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff dan bekas Penolong Bendahari ARMADA BERSATU, Rafiq Hakim Razali, selain

tiga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Syahmeizy Sulong, Nurul Hidayah Kamarudin dan Asbi Munip.

Pendakwaan juga menawarkan 13 saksi kepada pembelaan termasuk dua pegawai forensik SPRM, Moses anak Lawrence dan Wan Zulkifli Wan Jusoh serta rakan Syed Saddiq; Mohamed Amshar Aziz, Nurali Nadzwan dan Muhammad Suhaimi Yahya.

Syed Saddiq, 29, berdepan empat tuduhan, yang pertama didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Ahli Parlimen Muar itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020 dan dituduh mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, di antara 8 hingga 21 April 2018 dan dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang, masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, hasil aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 2:40 PM