Klinik desa yang musnah dalam kebakaran hari ini. FOTO ihsan JBPM
Klinik desa yang musnah dalam kebakaran hari ini. FOTO ihsan JBPM
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Klinik Desa Kampung Batu 4 di Jalan Sekolah, Sepintas, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Difahamkan, kejadian itu adalah kejadian kedua berlaku di daerah ini selepas kebakaran Klinik Kesihatan Parit Baru pada 12 September lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu jam 5.08 petang.

Beliau berkata, sepasukan 13 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dan Sungai Besar dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati api marak dan klinik itu sudah terbakar 60 peratus berikutan struktur bangunan diperbuat daripada kayu.

"Api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya jam 5.46 petang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, ketika kejadian seorang wanita yang juga kakitangan klinik desa berusia lingkungan 30-an dipercayai sedang bertugas di bangunan terbabit.

"Bagaimanapun, mangsa berjaya menyelamatkan diri setelah menyedari kebakaran itu serta tidak mengalami kecederaan," katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 9:05 PM