GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad

Kulai: Seorang lelaki ditahan kerana mematahkan bendera kempen Barisan Nasional (BN) di Taman Senai Utama, Senai di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintenden Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 58 tahun itu dipercayai dalam keadaan mabuk ketika membuat provokasi.

"Pada 12.15 tengah malam tadi, anggota polis menerima makluman terdapat seorang lelaki mabuk membuat provokasi dengan mematahkan bendera yang dipasang jentera kempen BN.

"Polis kemudiannya menahan suspek dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kulai untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Beng Yeow berkata, pihaknya menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang kelakuan jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, calon BN bagi kerusi Parlimen Kulai, Chua Jian Boon memaklumkan suspek turut bertindak memarahi jenteranya yang sedang memasang bahan kempen tersebut.

"Jentera kempen bukan sahaja dimarah dan dihalang, malah bendera yang dipasang turut ditanggalkan.

"Kerana enggan terbabit dengan pertikaian berkenaan, jentera kami berundur daripada kawasan berkenaan dan membuat laporan polis berhubung gangguan itu.

"Saya amat kesal dengan perbuatan tersebut yang disifatkan merupakan satu strategi kempen tidak sihat yang tidak sepatutnya berlaku pada masa kini," katanya ketika dihubungi.

Jurucakap Media PRU-15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Superintendan Ibrahim Mat Som memaklumkan pihaknya sudah membuka dua kertas siasatan berhubung insiden yang berlaku ketika tempoh berkempen bagi PRU-15 di negeri itu.

Menurutnya, ia membabitkan insiden membakar bunga api dan mercun serta perbuatan khianat merosakkan bendera parti.

"Siasatan pertama dibuat bagi kes sebuah parti yang sedang berkempen kemudian membakar mercun dan bunga api di Buloh Kasap, Segamat.

"Satu lagi siasatan berkaitan khianat merosakkan bendera parti di Kampung Sri Makmur, Plentong.

"Dua kertas siasatan ini dibuka dan disiasat di bawah peruntukkan undang-undang iaitu Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 3:41 PM