Zaid Salim


Kuala Terengganu: Bantuan awal sebanyak RM1,000 diberikan kepada mangsa yang terbabit dalam kebakaran memusnahkan 12 rumah kedai sederet di Jalan Bandar, Kampung Cina, di sini, malam tadi.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata ia adalah sumbangan portfolionya bagi meringankan beban selain mengembalikan semangat mangsa yang terkesan dengan kejadian itu.

"Sumbangan ini adalah peruntukan daripada portfolio saya bagi meringankan beban mangsa," katanya kepada pemberita ketika meninjau dan bertemu dengan mangsa di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cukai, berkata mangsa terbabit kebanyakannya adalah penyewa dan ada juga yang memiliki tanah sendiri.

Katanya, mangsa yang memiliki tanah sendiri boleh membuat pencarian pemilikan tanah dengan pejabat tanah untuk membolehkan mereka memohon bantuan Tabung Bencana kerajaan negeri sebanyak RM25,000 bagi membina semula bangunan kedai di atas tanah berkenaan.

"Buat sementara ini, kita akan cuba cari tapak di Pasar Kedai Payang, sekiranya ada kosong kita akan tempatkan mereka di situ untuk sementara mereka mendapat tempat baru untuk meneruskan perniagaan.

"Esok pegawai saya akan bincang dengan Majlis Bandaraya sama ada masih ada kekosongan atau tidak. Kalau ada kita akan tempatkan mereka di situ," katanya.

Hanafiah berkata, sekiranya tidak ada kekosongan, kita akan bincang dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagaimana untuk menggerakkan ekonomi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 4:36 PM
. Pemandangan udara keadaan rumah yang hangus dalam kebakaran yang membabitkan 12 rumah kedai sederet di Jalan Bandar, Kampung Cina malam tadi.  FOTO: Ghazali Kori
. Pemandangan udara keadaan rumah yang hangus dalam kebakaran yang membabitkan 12 rumah kedai sederet di Jalan Bandar, Kampung Cina malam tadi. FOTO: Ghazali Kori