Hamzah Osman

Langkawi: "Saya hanya sempat capai beg kecil yang mengandungi dokumen peribadi, benda lain semuanya habis (musnah)," kata Fatimah Ibrahim, yang menjadi mangsa kebakaran di Bukit Malut, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, kedai runcit binaan kayu milik Fatimah, 45, turut musnah dan menyebabkannya tinggal sehelai sepinggang.

Dia yang juga ibu tunggal berkata, ketika kejadian dirinya sedang bersiap untuk solat Asar sebelum melihat kepulan asap masuk ke dalam kedainya.

"Saya pelik nampak banyak asap masuk ke dalam kedai dan pada masa sama tak dengar apa-apa suara dari luar yang menunjukkan ada kebakaran.

"Ketika cuba tinjau di luar kedai, saya nampak api marak membakar rumah jiran…saya terus capai beg yang menyimpan dokumen peribadi dan berlari keluar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Fatimah mengakui kejadian itu ujian berat baginya, kerana hilang tempat berteduh dan kedai runcit yang menjadi sumber pendapatannya musnah sekelip mata.

ANTARA rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Bukit Malut, semalam. FOTO HAMZAH OSMAN
ANTARA rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Bukit Malut, semalam. FOTO HAMZAH OSMAN

Bagi seorang lagi mangsa, Rosli Ahmad, 45, berkata dia bersama isteri, Saedah Mustafa, 40, serta dua anak berusia lima dan 12 tahun turut tinggal sehelai sepinggang.

Bagaimanapun katanya, mereka bersyukur kerana semua ahli keluarganya sempat menyelamatkan diri.

"Ketika kebakaran, saya ada di luar, manakala isteri dan anak tidak sempat selamatkan apa-apa kerana api marak dengan cepat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon mengesahkan 17 rumah musnah dalam kejadian kebakaran berkenaan.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.47 petang berhubung insiden itu.

"Kebakaran membabitkan dua rumah kelas A yang musnah di antara 50 hingga 80 peratus, sebuah rumah kelas B (95 peratus) dan 14 rumah kelas C yang musnah 95 peratus," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.47 malam dan api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.47 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 10:15 AM