PETUGAS kesihatan menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap penduduk di PPS Balai Raya Bukit Balai. FOTO Ihsan APM Alor Gajah
PETUGAS kesihatan menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap penduduk di PPS Balai Raya Bukit Balai. FOTO Ihsan APM Alor Gajah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keadaan banjir di Johor, Perak dan Melaka hari ini menunjukkan perkembangan positif apabila mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) kian berkurangan.

Di JOHOR, banjir yang melanda Batu Pahat disebabkan pertembungan hujan lebat dan fenomena air pasang pada awal pagi Rabu lepas, menunjukkan jumlah mangsa terus mencatatkan pengurangan kepada 131 orang setakat 8 pagi ini berbanding 164 orang yang direkodkan malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mangsa terdiri daripada 33 keluarga itu ditempatkan di sebuah PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gading di sini yang dibuka sejak Rabu lepas.

Menurut JPBD, lokasi terjejas ialah Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Pekan Seri Gading dan Kampung Seri Tanjung.

Di PERAK, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, jumlah mangsa banjir di Kampung Tengah Bukit Semanggol dekat Bagan Serai yang ditempatkan di PPS Dewan Semanggol kekal 12 orang daripada tiga keluarga setakat 9 pagi ini.

Kesemua mangsa dijangka pulang ke rumah masing-masing hari ini berikutan air banjir sudah surut sepenuhnya dan cuaca ketika ini adalah baik.

Hujan lebat selama beberapa jam awal pagi semalam menyebabkan kawasan Kampung Tengah Bukit Semanggol di Bagan Serai dilanda banjir kilat dan terpaksa dipindahkan ke PPS yang mula dibuka pada 12 tengah hari.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir daripada lapan keluarga yang ditempatkan di dua PPS bertempat di Alor Gajah berkurang kepada 28 orang setakat 8.30 pagi tadi berbanding 29 orang daripada sembilan keluarga pada 8 malam tadi.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 20 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Bukit Balai manakala lapan orang daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Bukit Tambun

"Mangsa adalah penduduk dari Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai dan Kampung Pulau," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 10:44 AM