ULAR sawa seberat 180 kg ditangkap di Loji Air Proton City. FOTO Ihsan APM
ULAR sawa seberat 180 kg ditangkap di Loji Air Proton City. FOTO Ihsan APM
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Ular sawa seberat kira-kira 180 kilogram (kg) ditangkap oleh sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas dipercayai menelan seekor anjing di Loji Air Proton City, dekat sini, malam ini.

Pegawai APM Daerah Muallim, Kapten (PA) Shahrizal Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan reptilia terbabit pada 8.16 malam.

Katanya, sepasukan anggota dikejarkan ke tempat penemuan ular sawa terbabit sebaik menerima laporan berkenaan.

"Tiba di lokasi terbabit, seorang pengawal keselamatan memaklumkan seekor anjing dibaham seekor ular sawa yang dipercayai masih berada di tempat berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di kawasan loji terbabit, pihak kami mendapati terdapat seekor ular sawa yang kekenyangan dipercayai baharu sahaja menekan seekor anjing," katanya ketika dihubungi.

Shahrizal berkata, anggota APM mengambil masa selama 30 minit untuk mengesan dan menangkap reptilia terbabit yang berat kira-kira 180 kg dan panjang lebih lima meter itu.

Katanya, reptilia yang berjaya ditangkap dengan menggunakan alat khas dibawa balik ke Pejabat APM Daerah Muallim sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sungkai untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 12:05 AM