FARRAH Naz Karim
FARRAH Naz Karim

Kuala Lumpur: Persatuan Kewartawanan Digital Malaysia kesal dengan tindakan segelintir tokoh wartawan yang didakwa mempertikai pelantikan Farrah Naz Abdul Karim sebagai Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) yang baharu.

Presidennya, Nik Suryani Megat Deraman berkata, pihaknya juga menggesa polemik yang mendakwa pelantikan Farrah Naz dibuat atas campur tangan politik dihentikan.

"Sebagai pemenang dua kali berturut-turut Anugerah Kajai, persatuan yakin Farrah Naz dilantik atas dasar merit dan kelayakan.

"Pada hemat kami, beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan mampu membantu NST mencapai objektifnya sebagai sebuah akhbar dan entiti perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Suryani berkata, dunia kewartawanan Malaysia adalah kecil.

"(Jadi) Seharusnya kita wajar membantu dan menyokong antara satu sama lain, bukan sebaliknya," katanya.

Semalam, The New Straits Times Press Berhad (NSTP), anak syarikat Media Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan pelantikan Farrah Naz sebagai Pengarang Kumpulan akhbar bahasa Inggerisnya, New Straits Times (NST), berkuat kuasa esok.

Farrah Naz sudah berkhidmat di NSTP dalam pelbagai kapasiti sejak tahun 2000 termasuk pernah menyandang jawatan Eksekutif Editor.

Beliau baru-baru ini menyertai Rangkaian Televisyen Media Prima sebagai Penerbit Eksekutif untuk program hal ehwal semasa.

Tugas Farrah Naz di NST sebagai Pengarang Kumpulan adalah selaras dengan strategi NSTP untuk mempertingkatkan lagi penawaran kandungannya.

Bagaimanapun, timbul kritikan oleh segelintir pihak berhubung pelantikan beliau, dengan mendakwa ia dibuat atas campur tangan politik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 8:50 PM