Anggota ATM sentiasa bersiap sedia.
Anggota ATM sentiasa bersiap sedia.
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) bersiap siaga dan sedia menggerakkan aset sekiranya berlaku bencana banjir di negara ini yang dijangka berlaku November ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Mindef turut berada dalam jawatankuasa banjir itu yang dipengerusikan Perdana Menteri.

"Dari segi persiapan menghadapi banjir di pihak ATM tidak ada masalah dan kita sudah bersiap siaga.

"Seberapa ramai anggota ATM sedia turun dan aset juga bersiap sedia digerakkan sekiranya berlaku bencana banjir," katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu beliau melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kementah dan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) Desa Tun Hussein Onn (DTHO), di sini.

Media melaporkan MetMalaysia meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, dengan risiko berlaku hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 6:18 PM