Sekumpulan penyelam menyertai Program Crown of Thorns (COT) and Beach Clean-up telah diadakan bertempat di Pusat Taman Laut Pulau Perhentian selama tiga Hari. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Sekumpulan penyelam menyertai Program Crown of Thorns (COT) and Beach Clean-up telah diadakan bertempat di Pusat Taman Laut Pulau Perhentian selama tiga Hari. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Pulau Perhentian: Sebanyak 358 tapak sulaiman mahkota berduri (Crown of Thorns Starfish-COTS) dilupuskan oleh sekumpulan penyelam di sekitar Pulau Perhentian, hari ini.

Wakil Pusat Taman Laut Pulau Perhentian, Nazrul Azlinshah Ahmad Nazmi berkata, program tahunan oleh Jabatan Perikanan bertujuan memelihara kawasan terumbu karang daripada mengalami kerosakan disebabkan oleh tapak sulaiman terbabit yang menjadi musuh utama.

"Jabatan Perikanan Negeri Terengganu cawangan Taman Laut Pengurusan dan Pelindungan Sumber Daerah Besut memainkan peranan bagi melindungi kawasan terumbu karang di Pulau Perhentian agar tidak mengalami kepupusan.

"Tapak sulaiman yang berjaya dikutip di dasar laut itu kemudian dilupuskan dengan cara ditanam di daratan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, selain itu program pembersihan pantai turut diadakan untuk mendidik komuniti setempat dan pelancong supaya menghargai alam sekitar serta memulihara kepelbagaian biologi marin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 2:43 PM