PATI diperiksa sebelum diusir di Pelabuhan Sandakan. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN
PATI diperiksa sebelum diusir di Pelabuhan Sandakan. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan Program Pengusiran Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan mengusir 750 orang melalui Pelabuhan Sandakan, hari ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, program itu membabitkan pengusiran tahanan warganegara Filipina melalui laut.

Menurutnya, semua PATI warganegara Filipina itu ditahan di Depot Imigresen Tawau, Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu sejak tahun 2020.

"Program pengusiran ini diuruskan melalui Pelabuhan Sandakan, Sabah ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina.

"Tahanan yang diusir membabitkan lelaki seramai 638 orang, perempuan 81 orang, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah 30 orang dan kanak-kanak berumur 23 bulan seorang," katanya dalam sidang media di Pelabuhan Sandakan, hari ini.

Menurutnya, bagi tempoh tahun 2022, JIM Sabah mengusir 1,519 orang PATI pelbagai warganegara seluruh Sabah yang diusir melalui udara, laut dan darat.

"Bermula 1 Januari 2022 sehingga 29 Ogos 2022, JIM Sabah berjaya melaksanakan program pengusiran sebanyak 67 kali.

"Dalam tempoh tersebut seramai 332 orang diusir melalui udara, 1,186 pengusiran melalui jalan laut dan seorang menggunakan jalan darat.

"Proses pengusiran tahanan di semua Depot Imigresen di Negeri Sabah tertangguh sebelum ini berikutan negara asal tahanan memberikan alasan mereka berhadapan dengan ancaman pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, program pengusiran akan diteruskan dari semasa ke semasa.

"Ketika ini terdapat 6,200 semua tahanan di semua di depot di Sabah.

"Justeru program pengusiran akan diteruskan sehingga semua tahanan berkenaan dihantar pulang," katanya.

Dalam pada itu, mengulas jumlah keseluruhan tahan PATI seluruh negara, beliau berkata terdapat 15,166 orang di seluruh negara.

"Daripada jumlah ini 7,200 ditahan di depot di Sabah sahaja dan daripada 7,200 itu 6,000 adalah warganegara Filipina.

"Sepanjang tempoh tahun 2022 pula, statistik pengusiran di seluruh negara adalah berjumlah 22,448 orang dengan jumlah majoriti warganegara Indonesia 12,071, Myanmar 2,781, Vietnam 1,652, Thailand 1,551 orang dan Bangladesh 7,073 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 10:18 PM