Oleh M Hifzuddin Ikhsan dan Safuri Kamaruddin


Baling: Kerajaan negeri diminta mengambil tindakan ke atas tiga kolam takungan ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas yang didakwa boleh membahayakan penduduk sekiranya pecah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau memahami kebimbangan disuarakan penduduk dan akan berusaha menyelesaikan masalah itu dengan kadar segera.

Katanya, tidak ada gunanya kerajaan membina rumah baharu untuk mangsa banjir dan membaik pulih infrastruktur yang rosak, sekiranya bencana terus berulang di Kampung Iboi serta kawasan sekitarnya selepas ini.

"Kedudukan kolam ini membabitkan kerajaan negeri dan saya akan minta Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) mengambil tindakan dan perhatian segera.

"Saya difahamkan ada tiga kolam besar dan saya faham penduduk bimbang jika ia pecah akan bawa bencana lebih besar. Sebelum ini, kolam itu tidak pecah, yang pecah hanya tandak air," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau meluangkan masa hampir dua jam meninjau lokasi bencana di Kampung Iboi dan menghadiri Majlis Doa Selamat Sambutan 65 Tahun Kemerdekaan dan Bencana Banjir Daerah Baling.

Ismail berkata, kerajaan turut meluluskan projek tebatan banjir di seluruh Baling yang dijangka mampu menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh jangka panjang.

"Tidak ada guna jika kita bina rumah baharu kepada mangsa banjir dan kolam pula pecah sehingga banjir terus berlaku lagi, demi keselamatan penduduk, saya akan bincang bersama kerajaan negeri ambil tindakan sewajarnya.

"Apa yang perlu dibuat saya serahkan kepada kerajaan negeri, tetapi saya mahu masalah kolam itu diselesaikan segera," katanya.

Sebelum ini, penduduk mendakwa terdapat kolam takungan ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas yang boleh mengakibatkan banjir lebih buruk sekiranya pecah serentak ketika hujan lebat.

Berikutan itu, mereka mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan merobohkan kolam itu dan menutup sepenuhnya operasi ladang durian yang diusahakan syarikat swasta di sekitar puncak Gunung Inas sejak 2016.

Dalam kejadian 4 Julai lalu, bencana aliran puing dan banjir lumpur melanda Kampung Iboi serta kawasan sekitarnya mengakibatkan lebih 1,000 penduduk terjejas selain mengorbankan nyawa tiga mangsa.

Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media selepas majlis doa selamat di Dataran Keluarga Malaysia Kampung Teluk Durian, Mukim Kupang hari ini. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media selepas majlis doa selamat di Dataran Keluarga Malaysia Kampung Teluk Durian, Mukim Kupang hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 5:30 PM