Asrol Awang


Kuantan: Tiga lelaki Orang Asli didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang gadis Orang Asli berusia 14 tahun.

Bagaimanapun, tiga tertuduh terbabit, Rosli Bakar, 29, Helmat, 22, Murad Ahmad, 26, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan rogol berkumpulan terhadap mangsa berusia 14 tahun empat bulan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hutan simpang kawasan perkuburan lama Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin antara jam 11.15 malam 20 Ogos hingga 7 pagi, 21 Ogos lalu.

Ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh di penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Nurul Syuhada Tuan Mamat manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Saifudin Ab Rahman.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana ketiga-tiga tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Pekan semalam, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membabitkan mangsa sama.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 29 September depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Semalam, ketiga-tiga tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pekan atas

pertuduhan membunuh remaja perempuan terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 1:45 PM
SEMUA tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
SEMUA tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG