TIGA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Setiu hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang mati akibat ditetak dalam kejadian pada 21 Jun lalu. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
TIGA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Setiu hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang mati akibat ditetak dalam kejadian pada 21 Jun lalu. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Zatul Iffah Zolkiply dan Nurul Fatihah Sulaini


TIGA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Setiu hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang mati akibat ditetak dalam kejadian pada 21 Jun lalu.

Tertuduh, Aizz Amidie Aziz, 23; Mohd Rizalman Awang, 27 dan Zahaman Fairol Awang,30, mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama dua yang masih bebas didakwa membunuh Nik Mohamad Sharulanuar Nek Der, 22, di kawasan paya di tanah lapang Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut antara 4.40 petang hingga 5.15 petang, 21 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Besut.

Pendakwaan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli manakala semua tertuduh diwakili peguam, Nik Noor Nadzri Nik Soh.

Akhbar semalam melaporkan seorang lelaki maut ditetak sekumpulan lelaki dan lebih memilukan kejadian itu disaksikan abang mangsa sendiri dipercayai akibat perselisihan faham.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 2:55 PM