GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah mengenal pasti 608 lokasi panas bencana banjir di Sabah yang akan diberi perhatian sepanjang musim monsun timur laut atau tengkujuh yang bermula pada November hingga Mac depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong berkata, sebagai persediaan awal, jawatankuasa itu sudah membuat persiapan dalam pelbagai aspek untuk menghadapi bencana berkenaan, termasuk anggota dan logistik.

Beliau berkata, bagi musim tengkujuh kali ini, jawatankuasa berkenaan juga menyediakan sebanyak 75 lokasi pendaratan helikopter bagi memudahkan urusan pemindahan mangsa dan penghantaran bantuan di kawasan yang sukar diakses melalui jalan darat.

"Kerajaan negeri sudah bersiap sedia menghadapi monsun timur laut dengan kekuatan seramai 8,432 pegawai dan anggota pelbagai agensi, diikuti sebanyak 928 pengangkutan darat, 206 pengangkutan air dan lapan logistik udara yang akan digerakkan apabila berlaku bencana.

"Kerajaan negeri juga mengarahkan semua Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bersiap sedia dan hendaklah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana di semua daerah pada bila-bila masa," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Semalam, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah bermesyuarat bagi membincangkan persediaan menghadapi monsun timur laut di negeri ini.

Musim tengkujuh di Sabah sering menyebabkan banjir di kawasan rendah seperti di Beaufort, Tenom, Membakut, Kota Marudu, Pitas dan Kota Belud.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 8:29 AM