Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Kerja keras dan sentiasa mencuba idea perniagaan baharu membawa hasil lumayan buat pemuda ini hingga digelar 'Tok Raja Lelong'.

Muhammad Hairul Azhar Tajudin, 42, mendapat gelaran itu selepas mencuba berniaga pakaian di platform media sosial khususnya Facebook (FB), lima tahun lalu, sekali gus memanfaatkan peluang perniagaan digital.

Dia sebelum itu bermula dengan berniaga di pasar malam pada 2007, menggunakan modal permulaan sebanyak RM350.

"Perniagaan dalam talian memberikan hasil lumayan dan Alhamdulillah, FB Tok Raja Lelong mempunyai lebih 20,000 pengikut dan setiap kali jualan penstriman langsung, ramai yang tertarik kerana pelbagai barangan dijual serendah RM1 hingga RM200.

"Biasanya saya akan mulakan sesi jualan pada 9 malam hingga 12 tengah malam, tiga hari seminggu (Ahad, Selasa, Khamis) dengan barang antaranya, pakaian, jam tangan dan beg wanita," katanya ketika ditemui di kedainya di Machang, baru-baru ini.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia menjual barangan berkualiti dari China dan mengubahsuai kedai untuk menyimpan produk jualan online.

"Saya tidak merasakan diri sudah berjaya dan mengakui perjalanannya dalam perniagaan masih jauh lagi selain perlu sentiasa mempelajari ilmu bidang ini.

"Bagaimanapun, saya bersyukur apabila ada pihak menjadikan diri ini sebagai sumber inspirasi untuk berjaya. Nasihat saya, anak muda yang berbakat dalam perniagaan manfaatkanlah perkembangan teknologi terkini," katanya yang dibantu lima pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 1:06 PM
Muhammad Hairul Azhar Tajudin menunjukkan jam tangan yang dijual di kedainya dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Muhammad Hairul Azhar Tajudin menunjukkan jam tangan yang dijual di kedainya dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI