BARATHAN merakamkan gambar untuk  laporan berita.
BARATHAN merakamkan gambar untuk laporan berita.
Oleh Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Minat mendalam dalam lapangan kewartawanan mendorong seorang pesara guru menceburi bidang terbabit selepas tamat perkhidmatan sebagai guru besar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tan Sri Manickavasagam, dekat sini.

Usia 73 tahun bukan penghalang bagi S Barathan menceburi kerjaya baharu sebagai wartawan sambilan di akhbar berbahasa Tamil selepas bersara pada 2005 lalu.

Barathan berkata, ketika dia masih seorang pendidik beliau kerap menyumbang pelbagai artikel untuk siaran akhbar terbabit bagi memenuhi masa lapang selepas waktu persekolahan.

Menurutnya, apabila artikel disiarkan di akhbar berkenaan beliau gembira dan teruja untuk menceburi bidang terbabit selepas bersara.

"Walaupun pada peringkat awal saya hanya penyumbang tanpa menerima bayaran namun apabila artikel disiarkan dengan tertera nama penulis ia memberi kepuasan kepada saya.

"Selepas bersara saya jadi wartawan sambilan dengan melaporkan pelbagai berita setempat di kawasan Hulu Selangor, Muallim dan Batang Padang," katanya.

Malah, beliau juga menyandang jawatan Naib Pengerusi Persatuan Olahraga Perak (POP) dan Naib Pengerusi POP Daerah Muallim di samping Setiausaha Rumah Sejahtera Warga Emas Kerling, Hulu Selangor, Selangor.

Beliau menerima pendidikan terakhir di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim dan bergelar pendidik selama 33 tahun.

Hasil perkahwinan bersama M Lokesvary yang kini berumur 64 tahun, beliau dikurniakan tiga anak perempuan.

BARATHAN menemu bual  orang ramai.
BARATHAN menemu bual orang ramai.

Katanya, walaupun wartawan sambilan namun tugasnya setara wartawan sepenuh masa kerana bertanggungjawab terhadap artikel yang disiarkan.

"Setiap artikel perlu ada maklumat tepat dan sahih daripada sumber dipercayai dari segi kesahan serta kebenaran bagi mengelak timbul persepsi serta spekulasi negatif dan kekeliruan pembaca.

"Setiap kali menyiapkan tugasan, saya baca berulang kali supaya maklumat tepat dengan ejaan betul supaya tidak dipertikai," katanya.

Menyentuh situasi ketika melaporkan kejadian kemalangan yang membabitkan kematian, beliau mengakui bukan tugas mudah mendekati keluarga mangsa yang ketika itu dalam kesedihan selepas kehilangan insan tersayang.

Katanya, situasi itu menuntut kesabaran dan ilmu psikologi untuk mendapatkan maklumat supaya laporan berita tepat dan tidak sensitif.

"Apabila berlaku tragedi, memang kelam-kabut apatah lagi jika pihak pengarang mahu laporan dikemas kini setiap masa.

"Tiada alasan boleh diberikan kerana semua akhbar utama sentiasa kemas kini laporan di portal masing-masing yang kadangkala saya tertekan dengan situasi terbabit," katanya.

Katanya, beliau juga perlu bijak berkomunikasi dengan wartawan dari akhbar lain bagi mendapatkan maklumat yang terlepas pandang supaya laporannya setanding akhbar lain.

Katanya, pembabitannya dalam dunia kewartawanan mendorongnya sentiasa proaktif dan kreatif dalam menjalankan tugas.

"Kawasan liputan saya luas. Jadi, saya perlu jaga kesihatan dan amalkan gaya hidup sihat supaya tidak ketinggalan melaporkan berita di kawasan berkenaan.

"Memang letih namun apabila artikel siap dan tersiar, rasa penat hilang umpama ubat yang menjadi penawar sakit," katanya.

KERJAYA  wartawan sambilan memberi peluang  Barathan (kiri) menemuramah orang kenamaan termasuk menteri.
KERJAYA wartawan sambilan memberi peluang Barathan (kiri) menemuramah orang kenamaan termasuk menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 8:14 AM