Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Polis menahan lima individu termasuk seorang remaja perempuan yang juga suspek utama dalam insiden melarikan seorang bayi berusia sembilan bulan di sebuah pangsapuri di Bukit Tengah, di sini, kelmarin.

Lima individu berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua lokasi di sebuah pondok di Machang Bubok, di sini dan sebuah rumah di Kulim, Kedah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San, berkata polis melancarkan serbuan sebaik menerima laporan daripada ibu kepada bayi perempuan berkenaan yang berusia 24 tahun berhubung kejadian anaknya dilarikan oleh salah seorang cucu pengasuh.

"Pada ketika itu, ibu mangsa mahu mengambil anaknya dari rumah pengasuh pada jam 5.30 petang sebelum pengasuh berusia 65 tahun memberitahu bahawa cucu perempuannya berusia 14 tahun membawa lari mangsa (bayi perempuan) ketika dia sedang solat.

"Ibu mangsa kemudian bertanya kepada pengawal keselamatan dan dimaklumkan suspek mendukung mangsa dengan berjalan kaki dan kemudian menunggang motosikal. Ibu mangsa cuba menghubungi suspek namun tidak berjaya lalu dia membuat laporan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.

Jelasnya, polis kemudian membuat tangkapan ke atas suspek utama dan teman lelakinya berusia 18 tahun, termasuk rakan kepada teman lelaki suspek yang juga berusia 18 tahun di sebuah pondok di Machang Bubok pada jam 11.50 malam, hari sama.

"Berpandukan dengan tangkapan ini membawa polis ke sebuah rumah di Kulim yang mana menjadi tempat bayi perempuan itu berada.

"Siasatan mendapati suspek utama membawa bayi perempuan itu di pondok di Machang Bubok terlebih dahulu, sebelum bapa tiri kepada teman lelaki suspek berusia 30 tahun datang dengan memandu van kilang, kemudian mengambil mangsa (bayi perempuan) pergi ke sebuah rumah di Kulim.

"Ketika serbuan di Kulim, bayi itu dijaga ibu kepada teman lelaki suspek yang berusia 43 tahun dan polis menahan kelima-lima mereka untuk siasatan lanjut," katanya.

Tan berkata, kelima-lima suspek itu yang tiada rekod jenayah lampau kini direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

"Siasatan ke atas suspek utama memaklumkan dia melarikan bayi itu kerana dia suka budak berkenaan kerana terlalu comel.

"Dalam pada itu, dia turut mendakwa bayi itu adalah anaknya hasil hubungan dengan teman lelakinya. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui motif sebenar, selain ia mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan bayi atau sebaliknya," katanya.

Difahamkan, bayi yang diselamatkan polis itu mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Bayi berkenaan yang juga anak tunggal dijaga pengasuh yang juga nenek kepada suspek utama sejak lapan bulan lalu dengan bayaran RM500 sebulan.

Selain bayi itu, terdapat tiga lagi kanak-kanak lain yang dijaga pengasuh berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 1:12 PM
TAN Cheng San ketika sidang media kes bayi dilarikan di sebuah pangsapuri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah. FOTO Danial Saad
TAN Cheng San ketika sidang media kes bayi dilarikan di sebuah pangsapuri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah. FOTO Danial Saad