LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Shamsul Munir Safini


WANITA dan teman lelaki masing-masing berusia 28 tahun yang membuang bayi di sebuah masjid di Ara Kuda, Tasek Gelugor, diberkas polis di Hospital Kulim, Kedah semalam.

Kedua-dua mereka ditahan 3.30 petang semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU)

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pasangan berkenaan tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah.

“Suspek wanita yang diberkas semalam juga adalah anak sulung kepada wanita berusia 57 tahun yang ditahan Rabu lalu.

“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek melahirkan bayi berkenaan di rumah ibunya di Kulim, Kedah sebelum dibuang di sebuah masjid di Ara Kuda, Tasek Gelugor,” katanya.

Menurutnya, suspek juga mengaku merahsiakan kandungan daripada pengetahuan ibunya sehingga melahirkan bayi berkenaan.

Katanya, suspek mengenali teman lelakinya melalui media sosial dan menjalinkan hubungan sulit lebih setahun.

Noorzainy berkata, suspek lelaki yang juga bapa kepada bayi perempuan berkenaan mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 1.15 tengah hari Selasa lalu, sekumpulan jemaah masjid yang datang untuk menunaikan solat Zohor digemparkan dengan penemuan bayi perempuan yang ditinggalkan di dalam kotak.

Susulan penemuan itu, seorang wanita berusia 57 tahun diberkas keesokan harinya sebelum membawa kepada penahanan pasangan kekasih masing-masing berusia 28 tahun semalam.

Berita berkaitan

[UPDATE] Tahan nenek dulu, nanti mak pulak

[UPDATE] 'Dengar jeritan ketika azan'

Bayi perempuan ditinggal dalam masjid

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 5:35 PM