GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: "Saya berpendapat kenyataan berkaitan kiamat iklim diramal 2040 hanya bersifat spekulasi dan sensasi yang tidak berdasarkan fakta saintifik," kata Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang.

Pakar Klimatologi itu berkata, memang kenaikan aras laut diunjurkan seperti yang dilaporkan oleh Laporan Penilaian Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata, kenaikan aras laut itu adalah disebabkan oleh pencairan ais di Artik terutamanya dan pengembangan isipadu lautan disebabkan peningkatan kandungan haba dan suhu lautan.

"Bagaimanapun, menurut Laporan Penilaian ke-6 IPCC yang diterbit tahun lalu, kenaikan aras laut dunia tidak melebihi satu meter pada 2100 dan kurang dari 0.5 meter pada 2050.

"Saya menganggap kenyataan kiamat iklim akan berlaku di Malaysia pada 2040 adalah kenyataan yang tidak tepat, tidak berpandukan fakta sains dan hanya bersifat sensasi," katanya yang juga Mantan Naib Pengerusi Kumpulan Kerja I IPCC.

Malah, katanya, perkara itu disebut sejak Malaysia dilanda banjir akhir-akhir ini.

Hakikatnya beliau berkata, pada ketika ini fenomena La Nina masih lagi berlaku, justeru taburan hujan yang meningkat serta kejadian banjir yang meningkat walaupun pada musim monsun timur laut adalah sesuatu yang sudah dijangka dan diramal.

"Mengaitkan perkara ini sebagai tanda-tanda kiamat iklim adalah sesuatu yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab kerana akan mengelirukan masyarakat," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ikon Ais Kutub Utara Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir yang dilaporkan berkata, hasil pemerhatian beliau semasa beberapa kali ke Kutub Utara dan Antartika mendapati, ais semakin mencair, gunung berapi kini mula aktif di Antartika dan suhu di Kutub Utara pula bukan membeku tetapi hanya suam sahaja.

Beliau dilaporkan berkata, semua petunjuk itu adalah kesan daripada pemanasan global, yang tidak pernah berlaku, tetapi semakin mendekatkan negara dunia, tanpa terkecuali Malaysia kepada iklim paling ekstrems yang beliau panggil 'kiamat iklim'.

"Melihat kepada perkembangan itu semua, berbaki 18 tahun lagi dari sekarang, iaitu pada 2040, dunia mungkin alami kiamat iklim yang akan turut sama menjejaskan Malaysia," katanya memetik temubualnya dengan sebuah stesen televisyen, baru-baru ini dan klip itu tular di media sosial.

Sementara itu, pakar geobencana, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo pula menyifatkan istilah kiamat iklim itu kurang sesuai digunakan.

"Apa maksud kiamat? Kena jelas, apakah semua orang akan mati? Pandangan saya, istilah kiamat tak sesuai. Yang lebih sesuai ialah bencana iklim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 4:34 PM