Lelaki ditahan bersama 22 bungkus daun ketum. FOTO IHSAN POLIS
Lelaki ditahan bersama 22 bungkus daun ketum. FOTO IHSAN POLIS
Oleh Omar Ahmad


Kulai: Polis merampas 252 kilogram daun selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah di Tol Senai Utara di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan anggota trafik yang membuat pemeriksaan kira-kira jam 10.30 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas Hyundai Starex itu menjumpai 22 bungkus plastik hitam mengandungi daun disyaki daun ketum yang dianggarkan bernilai RM2,520.

"Siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit sebagai penghantar daun ketum sekitar daerah Iskandar Puteri. Suspek aktif membuat penghantaran sejak bulan lalu.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah Methamphetamine dan mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan Akta Racun 1952, "katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Beng Yeow, suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 2:33 PM